PENGENALAN

SEJARAH SEKOLAH


Sekolah ini telah dibina pada tahun 1951, dikenali sebagai Undang Rembau English Secondary School (URESS). Ia merupakan sekolah aliran Inggeris tetapi mulai tahun 1980 menjadi sekolah kebangsaan dengan terlaksananya Dasar Pelajaran Kebangsaan. Sekolah ini telah didirikan di kawasan tanah seluas 18 ekar dan kira-kira setengah kilometer dari Pekan Rembau dan merupakan sekolah menengah pertama didirikan di daerah Rembau. Sekolah ini diwujudkan atas kesedaran masyarakat setempat dan pihak pentadbiran daerah ADO iaitu Tuanku Jaafar dan District Officer, Che Mat.

Pada awal penubuhannya, pengambilan pelajar terdiri daripada pelajar di Bangunan Umno, pelajar Sekolah Melayu yang tamat darjah IV dan pelajar baru masuk ke sekolah. Manakala, kelas-kelasnya terdiri daripada Primary 1, Special Malay Class dan Standard 3, 4 dan 5.

Sekolah ini telah dirasmikan oleh Datuk Undang Haji Ipap dan Director of Education V.M Ris pada 1951. Tenaga pengajar ketika itu terdiri daripada guru-guru Latihan Normal 1,2 orang guru lepasan Kirby dan seorang Lulusan Raffles College.